UTAMA

Selamat Datang ! Salam Mesra dari PEWANIS !


PEWANIS – PENGORAK LANGKAH DAN PENERAJU

Pada tahun 2006, Nestlé (Malaysia) Berhad telah memulakan satu projek bersama WWF-Malaysia bagi meningkatkan tahap ekonomi wanita dan mewujudkan kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat tempatan di Kampung Mangkok, Setiu. Kpg Mangkok, sebuah perkampungan yang terletak di antara sebuah laguna dan Laut Cina Selatan, ialah sebuah kampong yang kaya dengan keindahan alam semulajadi.

Menyedari keperluan untuk meningkatkan ekonomi penduduk kampong secara lestari dan mesra alam, Nestlé telah membiayai satu kaji selidik mengenai keperluan sosio-ekonomi masyarakat tempatan di kampung-kampung utama di Setiu. Nestle ingin memberi tumpuan terhadap kaum wanita kerana sebagai kaum ibu yang mendidik generasi akan datang, mereka turut memainkan peranan dalam menambah sara hidup keluarga melalui aktiviti-aktiviti tertentu.

Ekoran itu, sebuah kumpulan tidak formal telah diwujudkan pada November 2007 yang dikenali sebagai Usahawan-Usahawan Wanita Setiu, atau lebih dikenali sebagai PEWANIS.

Kumpulan ini adalah unik oleh kerana ia terdiri dari wanita-wanita tempatan yang bersama sama berusaha untuk meningkatkan rezeki keluarga mereka masing masing. Dengan bantuan teknikal dari WWF-Malaysia, mereka juga turut menerajui usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar di sekitar kampung mereka.

Dengan penajaan daripada Nestle (Malaysia) Bhd, PEWANIS ditubuh untuk untuk:

1) Memberi peluang kepada wanita-wanita yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah untuk meningkatkan tahap sosio ekonomi dan pendapatan keluarga masing masing melalui aktiviti-aktiviti yang memberi pulangan yang menguntungkan; dan

2) Meningkatkan aktiviti-aktiviti kesedaran dan pemuliharaan alam sekitar bersama masyarakat setempat.

Untuk menambah kecekapan mereka, PEWANIS juga diberi peluang latihan berkaitan industri kotej seperti kemahiran asas keusahawanan, mengutamakan kebersihan dalam memproses makanan ringan, latihan dalam pemasaran dan penjenamaan serta kemahiran komunikasi bagi persediaan untuk mereka membabitkan diri dalam industri kotej. Mereka turut digalakkan untuk menerap amalan mesra alam dalam kehidupan harian mereka.

Pada masa ini, PEWANIS bergiat aktif dalam mengusahakan kerepek pisang bagi meningkatkan pendapatan sampingan mereka. Aktiviti ini dijalankan di sebuah pusat aktiviti yang dikenali sebagai Pink House. Bersama dengan WWF, mereka turut mengadakan beberapa aktiviti kesedaran dan pemuliharaan alam sekitar dengan masyarakat tempatan dan juga aktif dalam penanaman semula pokok-pokok bakau. Ini semua bertujuan untuk meningkatkan upaya mereka untuk menjadi satu badan yang menjaga khazanah alam semulajadi unik di sekitar Kampung Mangkok seperti pokok-pokok bakau, tanah bencah Setiu serta penyu dan tuntung.

Seperkara lagi, PEWANIS juga turut menganjurkan kelas Bahasa Inggeris dan bacaan Iqra' secara percuma untuk murid-murid tempatan di Pink House.

Dalam jangka masa panjang, PEWANIS bertujuan untuk menceburi bidang pelancongan. Setiu dianggap oleh kerajaan negeri Terengganu sebagai satu destinasi pelancongan yang berpotensi di mana akan terdapat sebuah rumah peranginan di kampung iaitu Terrapuri Resort. Oleh itu, adalah penting bagi PEWANIS untuk menggunakan peluang ini untuk mengendalikan perniagaan berfokuskan pelancongan. PEWANIS juga berpeluang untuk menarik para pelancong untuk menyertai proses pembuatan kerepek, penanaman semula bakau, serta aktiviti-aktiviti menarik yang lain. Usaha ini disokong sepenuhnya oleh agensi pelancongan tempatan terbesar di Terengganu, iaitu Ping Anchorage.

Penglibatan PEWANIS merupakan satu projek yang unik yang menggabungkan dua aspek penting iaitu peningkatan pendapatan wanita tempatan, serta peneraju pemuliharaan alam sekitar di Setiu.

Setiu Wetlands merupakan habitat penting untuk spesies yang sangat terancam iaitu Tuntung Laut dan Tuntung Sungai. Penyu juga turut mendarat di sepanjang pantai di Setiu.

No comments:

Post a Comment